Madu Lebah dalam al-Quran
Lebah adalah antara nama binatang yang disebut dengan terperinci kerjayanya di dalam al-Quran. Hal ini boleh didapati di dalam al-Quran surah al-Nahl (ayat 65-69). Firman Allah:
"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia, kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan, dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu). dari perut lebah itu, keluarlah minuman(madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamya terdapat ubat yang boleh mnyembuhkan bagi manusia. sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang yang memikirkannya."
Ayat di atas adalah perkhabaran Allah kepada manusia mengenai tugas yang dibebankan kepada lebah. Lafaz yang ditujukan kepada lebah ialah bentuk ”mu`annath” yakni betina. Ini sesuai dengan keadaan yang berlaku dalam kerajaan lebah dan sesuai pula dengan kehidupannya. Ini kerana kerajaan lebah adalah dipimpin betina dan bilangan lebah jantannya jauh lebih kecil daripada bilangan lebah betina. Dari segi yang lain, peranan lebah jantan dalam kerajaan lebah lebih terhad, hanya untuk memberikan keturunan kepada betina. Apabila selesai lalu semuanya mati, tidak ada yang tinggal kecuali betina sahaja iaitu ratu dan pekerja betina yang bertugas mencari madu dan membuat sarang.