shoutbOx

11 December 2011

: Lembaga DI bawah Pohon Nangka :

Di luar, matahari sudah mula hendak menghilangkan diri. Selalunya ketika ini, Intan ke rumah tunangnya, Shahrul, yang kebetulan tidak jauh dari rumah sewanya. Selalunya juga Intan membawa mangkuk tingkat jenis Tupperware berisi makanan untuk tunangnya itu. Intan memang rajin memasak dan menghantar makanan untuk tunangnya itu.

Namun pada hari itu, Intan agak lambat menghantarnya. Semuanya kerana dia ketinggalan bas untuk balik ke rumah selepas habis bekerja. Selepas siap memasak, Intan terus bergegas ke rumah Shahrul.

Dalam perjalanan, Intan perlu berjalan melintas sebatang pokok nangka yang terletak lebih kurang 300 meter dari rumah Shahrul . Tiba-tiba Intan seperti melihat Shahrul sedang bermain gitar di bawah pokok nangka tersebut. Agak syahdu juga lagu yang dimainkan dari gitar tersebut. Memang tidak silap lagu yang dimainkan petikan tali gitar itu lagu yang amat diminatinya bersama tunangnya itu iaitu “Biarlah Bulan Bicara Sendiri” nyanyian Allahyarham Broery Marantika.

Kenapa pula abang Shahrul duduk di situ senja-senja ni. Siap pakai cermin mata hitam pula. Eh… bila pula abang Shahrul pandai main gitar. Ujar Intan dalam hati. Abang Shahrul memberhentikan petikan gitar dan melambai ke arah Intan memanggilnya ke bawah pokok nangka itu.

Ketika menghampiri pokok nangka tersebut dengan tujuan mahu bertanyakan kepada Shahrul kenapa duduk di situ dan bagaimana tunangnya itu pandai bermain gitar, tiba-tiba Intan tersadung batu. Aduh! Sakitnya kaki aku. Macam mana pula aku tidak nampak batu ini. Dari mana datangnya batu ni. Nasib baik tidak teruk kaki aku ini.

Setelah menggosok kakinya, Intan pun mencuba bangun. Mungkin disebabkan badannya agak berisi, agak sukar untuk Intan berdiri.

Baik aku minta tolong abang Shahrul. Ujar Intan sambil memandang ke arah pokok nangka tersebut. Sebaik mengangkat kepala, Intan terkejut kerana Shahrul sudah tiada di situ. Ke mana perginya abang Shahrul ni. Tak sampai beberapa minit dah hilang. Sampai hati dia tidak mahu menolong aku. Ujar Intan perlahan sambil menahan sakit.

Disebabkan tidak ada sesiapa pun yang lalu lalang, terpaksalah Intan bangun perlahan-lahan. Dengan keadaan terdengkot-dengkot, Intan meneruskan perjalanannya ke rumah Shahrul. Dalam keadaan yang begitu payah, sampai juga Intan ke rumah Shahrul. Intan nampak Shahrul sedang duduk di hadapan rumahnya sambil berbual dengan kawan serumahnya.

'Abang, kenapa tidak mahu tolong angkat saya tadi. Abang tahu betapa sakitnya kaki saya ini sebab tersadung batu. Sampai hati abang buat saya macam tu.' Ujar Intan sebaik menghampiri Shahrul.

'Eh ayang ni. Abang mana ada pergi mana-mana semenjak balik kerja tadi. Macam biasa lah cik Intan sayang oi… Abang duduk di rumah menunggu Intan sayang abang ni. Kalau tidak percaya, tanya Alan tu.' Ujar Shahrul dalam nada kehairanan.

Alan mengiakan kata-kata Shahrul.
'Betul kak, abang Shahrul memang dari tadi ada di rumah.'

'Habis tu siapa yang saya nampak tadi. Saya tidak tipu. Tadi saya nampak abang Shahrul bermain gitar di bawah pokok nangka. Siap memakai cermin mata dan petik lagu kegemaran kami berdua lagi.'
'Cik Intan sayang… Abang mana tahu bermain gitar. Lagipun kenapa pula abang nak duduk di bawah pokok nangka pada waktu senja-senja begini. Banyak lagi kerja lain yang abang boleh buat.'Jawab Shahrul bersungguh-sungguh.

'Habis tu, kalau bukan abang, siapa lelaki tersebut?' Ujar Intan kehairanan.

Malam itu Intan pulang ke rumahnya dihantar oleh Shahrul dengan menaiki motor buruknya. Dia segera bertanya tentang lelaki bawah pokok nangka tersebut kepada kawan serumahnya.

'Intan, kalau akak cakap kau jangan pula terperanjat ya. Sebelum ini akak pernah dengar kejadian buruk berlaku di pokok nangka tersebut.' Ujar Kak Fiza,seorang kakak yang memang rapat dengannya di dalam rumah sewanya itu.

'Apa yang berlaku Kak Fiza?Intan tidak sabar-sabar hendak mendengar ni.'
'Lebih kurang 10 tahun dahulu, ada seorang lelaki yang suka bermain gitar di bawah pokok tersebut. Lelaki ini sangat meminati seorang anak gadis kampung ini. Setiap hari dia akan bermain gitar untuk memikat hati gadis tersebut. Namun gadis tersebut tidak melayannya. Malah dihinanya pula lelaki itu.'

'Lelaki itu kecewa lalu membunuh diri. Lelaki itu menggantung dirinya pada pokok nangka tersebut. 'Ujar Kak Fiza lagi.

Pucat muka Intan mendengarnya. 'Habis tu kenapa selama ini saya tidak pernah nampak, tiba-tiba sahaja hari ini saya nampak.' Soal Intan kehairanan.

'Itu akak tidak tahu. Mungkin ada sesuatu yang ingin diberitahu pada kau. Tu la, lain kali jangan keluar pada waktu senja. Mulai sekarang, lebih baik kau suruh saja Shahrul tu datang ke rumah ambil makanan sendiri.' Arah Kak Fiza dengan tegas.

'Baiklah kak.' Ujar Intan lemah sambil mengurut-urut kakinya yang sakit. Rasa takut mengenangkan apa yang telah dia ketemu tadi di bawah pokok nangka itu..

Bila Intan menoleh ke arah pokok nangka itu, dalam samar2 kelihatan seseorang sedang melambai-lambai ke arahnya..dan dengan perlahan2 bayangan itu mulai hilang ditelan kegelapan malam..Intan mulai rasa dunianya makin gelap..suara Kak Fiza sayup2 kedengaran di hujung telinga..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...