Apa itu Sutrah?
Sutrah adalah suatu yang diletakkan di hadapan orang yang solat setinggi kira-kira pelana unta. Ini adalah berdasarkan suatu hadis dari Abu Musa bin Talhah dari ayahnya, ia berkata, Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
“Apabila salah seorang kamu sudah meletakkan sesuatu setinggi pelana unta di hadapannya maka solatlah dan jangan pedulikan siapa saja yang melintas di sebalik sutrah tersebut”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Hukum Meletakkan Sutrah
Sebahagian ulama menyatakan bahawa hukum meletakkan sutrah adalah sunnah, sebahagiannya menyatakan sebagai sunnah yang sangat-sangat dituntut, manakala sebahagian lagi menyatakan sebagai wajib. Ini adalah antaranya berdasarkan kepada dalil hadis sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, ia berkata: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Janganlah kamu solat kecuali memasang (meletakkan) sutrah dan jangan biarkan seorangpun melintas di hadapanmu. Apabila ia tetap berkeras, maka lawanlah dia kerana dia ditemani syaitan”
(Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)

