shoutbOx

04 December 2011

: Panduan Solat GerHana :

HUKUM SOLAT GERHANA
Sunat Muakkad 

CARA-CARA SOLAT
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di masjid/surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA
Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan  suara perlahan; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam. 

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :

Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua : Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua. (Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan)

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

WAKTUNYA
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

TEMPAT SOLAT
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat. 
2. Berdiri lurus mengadap kiblat. 
3. Berniat mengerjakan solat gerhana. 
4. Lafaz niat 

    4.1 Untuk gerhana bulan 

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

    4.2 Untuk gerhana matahari 

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

5.   Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah. 
6.   Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7.   Baca al-Fatihah dan Surah.
8.   Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9.   Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah
     (seperti khutbah Hari Raya).

INGATAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.

2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...